KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) ada beberapa lagi syarat utama yang akan diketengahkan kepada kerajaan walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik Antara Kerajaan Persekutuan telah dimeterai.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada beberapa lagi reformasi yang akan dicadangkan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dan diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.
“Kita akan bawa lagi isu besar dan mengapa kerajaan mesti tunaikan terutamanya isu pengurusan kerajaan, rasuah dan hal-hal monopoli.
“Jangan guna MoU, tidak ada kena mengena dengan MoU. Kita tetap bantah dan bangkang tidak akan sokong dalam hal ini (rasuah dan monopoli),” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar dalam pada itu berkata, PH akan berunding dengan kerajaan bagi memastikan tata kelola pengurusan kerajaan, isu rasuah dan monopoli syarikat beras diberikan keutamaan.
“Dalam MoU ini ia tidak menetapkan tarikh akhir, ia menetapkan tarikh PRU jadi kita masih berunding, ini bukan muktamad.
”Muktamadnya kita bincang bersama dalam PH dan kita akan pastikan beberapa langkah lain yang menyingung tentang tata kelola pengurusan kerajaan, rasuah dan monopoli, ini kita akan ketengahkan,” kata Anwar lagi.
Sebelum ini MoU antara PH dan kerajaan menetapkan kerjasama dwipartisan merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Untuk rekod, MoU yang dimeterai kerajaan dan PH itu terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.
MoU berkenaan juga menyatakan PH bersetuju untuk mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengan Belanjawan 2022 serta proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.
PH juga bersetuju menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan, rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.
Namun, persetujuan PH tertakluk kepada pelaksanaan transformasi dalam aturan masa yang dipersetujui.
MoU yang dipersetujui tiada kerahsiaan dan didedahkan kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan dan kebertanggungjawaban, turut menjelaskan kegagalan menunaikan dan melaksanakan mana-mana transformasi adalah satu pelanggaran dan boleh menyebabkan perjanjian ditamatkan. – MalaysiaGazette