Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tidak ada sesiapa mahu datang melabur sekiranya bekas perdana menterinya setiap masa meratib negara sudah bankrap.

Kenyataan keras tersebut dilemparkan Datuk Seri Najib Razak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga menjawat jawatan perddana menteri sebanyak dua kali.

“Tun M pula berulang meratib negara sudah bankrap bawah Najib.
Entahlah pelabur mana yang mahu labur dalam negara sekiranya perdana menteri sendiri selalu ratib negara sudah bankrap. Dah kata bankrap, masih mahu labur ke?” soal Najib sinis.

Najib bagaimanapun mempersoalkan tuduhan negara telah bankrap di bawah kepimpinannya.

Ini kerana ketika kerajaan Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hutang negara adalah sebanyak RM686.8 bilion.

Manakala nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2018 adalah 48.7 peratus.

Bagaimanapun hutang tersebut naik kepada RM1.08 trilion ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri-7 selepas PRU-14 dan nisbah hutang kepada KDNK pula naik kepada 62 peratus.

“Petronas dijarah RM80 bilion manakala RM30 bilion aset bersih Khazanah Nasional Nasional lesap ketika PH memerintah. Lalu Tun M pula yang pernah mengaku rizab kekayaan negara adalah sebanyak RM2 trilion. Ya. RM2 trilion. Dinaikkan RM1.2 trilion dari RM800 bilion dalam tempoh saya PM.

“Jika Tun tak bersetuju, sila nyatakan berapakah kekayaan negara pada tahun 2008 sebelum saya jadi PM sekiranya kekayaan negara melebihi RM2 trilion pada tahun 2020?” soal Najib.

Dr. Mahathir dalam kenyataan hari ini menggesa Najib tidak menyalahkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan kedudukan ekonomi Malaysia yang ketinggalan berbanding negara jiran.

Dr. Mahathir mendakwa, bekas Perdana Menteri keenam itu telah menyalahkan orang lain atas situasi ekonomi yang beliau sendiri cipta.

“Ya, negara semakin ketinggalan berbanding negara jirannya. Betul. Tetapi ia disebabkan oleh rasuah yang diamalkan kerajaan Najib. Ia disebabkan oleh sejumlah besar wang yang dipinjamnya yang kini telah hilang.

“Ia berikutan projek yang dimulakannya bukan sahaja terlalu mahal tetapi memihak kepada pihak lain. Ia berikutan projek-projek tersebut tidak memberi manfaat kepada negara.

“Dan tentunya kerana terpaksa membayar untuk melangsaikan hutang besar yang ditanggung olehnya. Tiada lagi wang untuk membangunkan negara. Apakah yang dia harapkan kerajaan yang mengalahkannya lakukan? Melepaskan semua jenayah yang dia lakukan?” tanya Mahathir.

Tambah beliau, Najib tidak boleh mengharapkan Kerajaan PH untuk membetulkan kesalahan yang telah dilakukannya.-MalaysiaGazette