Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan menubuhkan panel penyemak bebas yang terdiri daripada pakar kejuruteraan serta pengurusan lembangan tadahan air bagi mengenal pasti faktor krisis bekalan yang berlaku pada 6 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia juga bagi membincang, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan post-mortem krisis air yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang semalam telah menerima laporan post mortem krisis air yang berlaku di negeri ini dari 6 hingga 11 Julai lalu.

“Bagaimanapun selepas perbincangan lanjut, MMK telah mengarahkan PBAPP untuk menambah baik laporan tersebut dengan perincian yang lebih mendalam.

“Selain itu, MMK juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah panel penyemak bebas untuk melaksanakan beberapa tugas penting termasuk kelemahan semasa berlakunya krisis,” katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Zairil berkata, menerusi panel berkenaan, langkah jangka masa pendek, sederhana pendek dan panjang perlu dicadangkan bagi penyelesaian.

Katanya, panel perlu mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.

“Keahlian Panel Penyemak Bebas akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat dan serta diberi masa dua hingga tiga bulan bagi memuktamadkan dapatan mereka,” kata beliau.

Minggu lalu, Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua, akibat banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast