Datuk Seri Norolazali Sulaiman (tengah) mendengar taklimat daripada salah sebuah syarikat pempamer yang terlibat Jdalam Jelajah Halal Malaysia 2022 - Pahang Darul Makmur di Kuantan hari ini

KUANTAN – Kerajaan Pahang melalui Belanjawan 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM17.9 juta untuk program dan insentif kepada warga penternak dan industri halal.

Ia juga bagi memantapkan sekuriti makanan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Menurut beliau, usaha berterusan yang dilaksanakan, kerajaan negeri menjangka pengeluaran hasil ternakan dari negeri itu mencecah RM1.4 bilion.

“Sehingga kini, sebanyak lebih kurang 300 syarikat dan 400 premis makanan di negeri ini telah menerima pensijilan halal berbanding dengan hampir 10,000 syarikat yang mempunyai pensijilan halal di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Penutupan Jelajah Halal Malaysia 2022 – Pahang Darul Makmur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein Sahari.

Difahamkan HDC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dari sektor kerajaan dan swasta untuk mengkaji dan mencadangkan pelan tindakan bagi menggalakkan peningkatan industri halal di Pahang.

Jelajah Halal Malaysia 2022 Pahang Darul Makmur sekali gus mewujudkan sinergi ekosistem holistik antara kerajaan pusat dan negeri.

Program berkenaan telah berlangsung dari 19 Julai lalu sehingga hari ini di sini bertujuan memberi manfaat kepada usahawan tempatan yang mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal.

Program anjuran HDC dan disokong Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  diharap dapat meningkatkan prestasi pemain industri Pahang menjadi usahawan cemerlang.

Program selama tiga hari dua malam yang julung kali diadakan di sini dihadiri oleh usahawan yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan sedia ada termasuk yang masih belum mempunyai sijil halal. – MalaysiaGazette