Tangkap layar menunjukkan sebuan pacuan empat roda menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas di Kilometer 129.0 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Dua, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS – Tindakan pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 129.0 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di Sungai Dua di sini memakan diri selepas dia dikenakan tindakan saman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya terkesan satu video tular berdurasi satu minit 50 saat yang memaparkan perbuatan pemandu berkenaan menggunakan lorong kecemasan.

“Berdasarkan video tular itu, polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti pemilik kenderaan terbabit sebelum memanggil lelaki berusia 47 tahun itu untuk membantu siasatan.

“Pemilik kenderaan itu telah dipanggil ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dan dia hadir pada pukul 9 pagi tadi.

“Susulan itu, lelaki berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di atas kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Radzi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.

Terdahulu, tular satu rakaman video di Facebook memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih menggunakan laluan kecemasan ketika kesesakan jalan raya berlaku di lokasi tersebut. – MalaysiaGazette