Masjid UMS atau lebih dikenali sebagai “Pink Mosque” dalam kalangan pelancong merupakan antara destinasi tarikan pelancong antarabangsa di kampus UMS.

KOTA KINABALU – Eco-Campus Visitors Information Centre (EVIC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjangkakan mampu mencapai jumlah 10,000 pelancong antarabangsa menjelang Disember tahun ini.

Jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan trend peningkatan 30% daripada rekod  pelawat bulan Jun hingga bulan Julai dengan anggaran sejumlah 10,765 pelawat sehingga hujung tahun bergantung kepada situasi semasa negara dan pembukaan sempadan beberapa negara lain.

Sejak dibuka semula secara rasmi pada Mei 2022, kampus UMS telah menerima sejumlah 938 pelancong antarabangsa, merangkumi 26 pelancong yang mula melawat pada 25 Mei, diikuti 583 pelancong pada bulan Jun, dan 284 pelancong
sehingga 18 Julai 2022.

Daripada jumlah tersebut, pelancong dari Korea Selatan mencatatkan jumlah pelancong terbanyak iaitu sebanyak 543 orang, diikuti 54 pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong, 20 pelancong dari Singapura, dan selebihnya pelancong dari negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Malta.

”Perkembangan ini positif bagi tempoh dua bulan dan kita optimis untuk mencatatkan angka melebihi 10,000 pelawat kerana berdasarkan rekod sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 jumlah pelancong ke kampus UMS mencatatkan angka yang tinggi setiap bulan,” menurut EVIC.

EVIC UMS menawarkan perkhidmatan sewaan basikal kepada
pelancong dengan kadar RM10 sejam.

Untuk rekod, jumlah pelancong yang melawat kampus UMS pada tahun 2019 adalah sejumlah 433,568 orang, manakala catatan dari 1 Januari 2020 sehingga 11 Mac 2020 iaitu sebelum pelaksanaan PKP adalah seramai 20,888 orang.

EVIC juga menjangkakan jumlah kutipan pendapatan sebanyak RM188,722.75 mampu dijana sehingga hujung tahun ini sekiranya angka 10,000 pelawat dicapai.

Anggaran sumber pendapat tersebut merangkumi penjualan Green Ticket yang dijangka mampu menjana pendapatan sejumlah RM107,650; penjualan cenderamata berjumlah RM12,283.75; penjualan makanan dan minuman ringan dengan sasaran
RM19,654; dan kutipan hasil penyewaan basikal yang dianggarkan RM49,135.

”Berdasarkan penelitian dari EVIC juga lebih ramai pelancong yang datang sendiri ke UMS berbanding menggunakan khidmat pelancongan, justeru EVIC telah mengambil peluang ini untuk menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan kepada pelancong
antarabangsa.

”Antara perkhidmatan yang ditawarkan sewaan basikal elektrik dengan kadar RM10 sejam, sewaan Electric Tandem Bike dengan kadar RM30 sejam, perkhidmatan Buggy Car Ride dengan kadar RM15 bagi satu destinasi, dan sewaan Electric
Mountain Bike dengan kadar RM50 sejam,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, empat pakej lawatan khusus kepada pelawat turut ditawarkan dengan kadar bermula RM85 kepada pelawat tempatan dan RM110 kepada pelawat dari negara luar. – MalaysiaGazette