KAJIAN terhadap rasuah yang berdasarkan bukti (evidence based survey) adalah lebih tepat dan merupakan data yang tidak boleh disangkal jika dibandingkan dengan kajian berasas persepsi semata-mata.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, kajian terhadap rasuah ini sama analoginya seperti persepsi masyarakat di negara ini terhadap inflasi.
“Persepsi masyarakat terhadap inflasi di negara kita agak teruk namun jika dilihat kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) keadaan tersebut sebenarnya di paras yang terkawal.
“Konsep yang sama seperti IHP perlu digunapakai untuk mengukur gambaran rasuah yang kini bersandarkan kepada kajian persepsi sahaja iaitu Indeks Persepsi Rasuah (CPI)”, katanya.
Jelas Azmi, dalam kajian persepsi, responden mungkin dipengaruhi oleh sesuatu isu yang besar sahaja sehingga mengakibatkan pemikiran mereka melihat keseluruhannya sebagai sebagai sesuatu yang teruk.
“Misalnya, di negara kita, ekspatariat mungkin banyak mendengar berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jadi mereka melihat negara kita sebagai gambaran rasuah yang besar. Sepatutnya ia dilihat daripada semua aspek,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM kini giat meneliti bagi melaksanakan tinjauan berasaskan bukti ini yang bukan sahaja boleh memperoleh data persepsi tetapi dapat mengumpul pengalaman dan insiden rasuah dalam masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Suhaimee Saahar berkata, CPI bukanlah pengukuran atau instrumen yang mempunyai bukti akademik.
“Ia digunakan dari segi pengukuran persepsi rasuah dan boleh dipersoalkan dari segi kebolehpercayaan setiap item yang dibina seperti soalan-soalan tinjauan yang digunakan,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Suhaimee, beliau bersetuju dengan pendirian SPRM untuk membentuk tinjauan yang berdasarkan bukti bersama United Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) bagi mengukur tahap rasuah secara lebih menyeluruh dan tepat.
Tambah beliau, salah faham mengenai tugas dan peranan SPRM sentiasa dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak untuk mengalih tumpuan rakyat daripada usaha sebenar SPRM.
“Persepsi ini dibentuk oleh setengah-tengah pihak sebagai kaedah mengalihkan isu oleh pihak yang sedang didakwa di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette