Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2022.

LARUT – Kerajaan meluluskan Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) untuk diguna pakai secara besar-besaran terhadap semua pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam kalangan pelarian (UNHCR) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan sistem tersebut semalam bagi memastikan segala data individu yang memegang kad UNHCR didaftarkan semula dengan TRIS bagi mengenal pasti keberadaan pelarian dan pelaporan kepada negara.

“TRIS ini juga dapat memastikan mereka yang tinggal di negara kita bagi tujuan bekerja atau melakukan perkara lain dapat dipertingkatkan melalui polisi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall pada program Hari Kita Demi Negara Zon Utara anjuran Kementerian Dalam Negeri di Dewan Astaka, Batu Kurau di sini hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, TRIS telah melalui beberapa siri percubaan sejak beberapa tahun lepas, namun baru diberikan kelulusan untuk melaksanakannya secara besar-besaran.

Katanya, pelaksanaan bagi menjalankan TRIS diberikan kepada sebuah syarikat yang antara lain bertujuan untuk memastikan segala data pelarian khususnya mengenai lokaliti penempatan mereka diketahui.

TRIS merupakan sistem pangkalan data Malaysia, yang berkaitan dengan status pemegang kad UNHCR dan pencari suaka selain bagi mengemas kini proses pengurusan dan profil bersama-sama dengan proses pengumpulan data, pendaftaran, penyimpanan profil, analisis dan pelaporan untuk Kerajaan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai seorang pesakit cacar monyet pertama Thailand yang menghilangkan diri di pulau peranginan Phuket sebaik beliau dimaklumkan mengenai keputusan ujian saringannya, Hamzah berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk mengesan pesakit berkenaan sekiranya terdapat cubaan masuk ke Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan pegawai kesihatan dan pihak berkuasa Thailand sedang mempergiat usaha untuk mengesan lelaki berusia 27 tahun itu untuk memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya dan membendung penularan penyakit berkenaan. – Bernama