Remaja menjual ikan maut selepas kereta pacuan empat roda Toyota Hilux bertembung dengan dua kenderaan di jalan Kinabalu awal pagi tadi. Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang remaja maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di di Jalan Kinabalu, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam onsiden jam 2.45 pagi itu, lelaki berusia 18 tahun itu yang memandu kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux, dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Kuching.

Katanya, mangsa telah hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kemalangan dan terbabas ke pembahagi jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kemudian Toyota Hilux mangsa melanggar kenderaan jenis Honda HRV dan Honda CRZ HyBrid yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang bekerja sebagai penjual ikan telah mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Azmi, pemandu Honda HRZ, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut manakala pemandu Honda BRZ yang berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 balai berhampiran.