Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kempimpinan BN yang lain menaikkan bendera Barisan Basional pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ketika Perikatan Nasional (PN) sibuk berbincang mahu menggunakan logo baharu gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) pula masih kekal bersama bendara lamanya.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lambang BN adalah satu-satunya logo yang akan digunakan parti komponen itu.

“Bendera ini pernah menjadi panji terhebat memacu kegemilangan negara. Berbakti di serata pelosok Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Memayungi kemakmuran dan kesejahteraan segenap kehidupan rakyat.

“Lambang sebuah perikatan kerjasama, kestabilan serta perpaduan yang luhur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas satu kenyataan dibuat Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarudin Mohd Kasim, hari ini.

Kamarudin berkata, masalah yang dihadapi PN adalah kekeliruan pengundi terhadap logo parti yang seakan-akan logo kembar BN sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bendera lambang dacing itu akan terus kekal berpaksikan kepada rakyat.

“Hari silih berganti simbol BN terus terpahat dalam politik jasa dan budi. Neraca ini akan kekal berpaksi pada asas paling kukuh untuk rakyat demi rakyat.

“Lalu menjadi harapan sebenar rakyat apabila tiba masanya nanti. Insya Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, pada penghujung Jun lalu.

Awal bulan ini, Pas yang merupakan ahli gabungan PN membayangkan tidak menggunakan logo PN dan bulan purnama untuk calonnya pada PRU15.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata Pas akan menggunakan simbol baharu dan sesuai untuk semua calonnya bagi menghadapi PRU akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast