Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid di Kampung Permatang Sungai Dua, hari ini.

Jenazah lima sekeluarga iaitu Ahmad Khomaini Baba, 32; isterinya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; dan anak mereka, Zara Hana, 6.

Manakala dua lagi, bapa serta ibu Siti Aishah, Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun disemadikan dalam satu liang pada jam 2.50 petang.

(Gambar kiri) Ahmad Khomaini Baba, isterinya, Siti Aishah Mohd Rodhi, dan Zara Hana. (Gambar kanan) Mohd Rodhi Othman dan Sharifah Rohana Syed Sagaf.

Terdahulu, jenazah lima mangsa nahas kemalangan itu yang dibedah siasat di Hospital Gerik, Perak tiba di masjid pada jam 12.55 tengah hari.

Perasaan hiba turut menyelubungi suasana perkarangan masjid berkenaan yang dikunjungi lebih 500 orang yang terdiri daripada keluarga dan rakan.

Jenazah lima sekeluarga itu disolatkan selepas selesai jemaah solat Zuhur.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan polis Perak mengesahkan sebuah pacuan empat roda hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan menjadi punca lima beranak maut di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah Gerik ke Jeli telah hilang kawalan sebelum masuk ke arah bertentangan.

Kenderaan itu kemudian melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga terbabit. – MalaysiaGazette

Toyota Hilux hilang kawalan rempuh kenderaan dinaiki lima beranak – Polis