Abdul Hadi Awang. PAS PH Pakatan Harapan Perikatan Nasional cooperation PASLeak Pas Leak
Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Pas melahirkan keyakinan bahawa kedudukan parti itu di Kedah sangat kukuh dan kuat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu berdasarkan pertemuan dengan pimpinan Badan Perhubungan Pas Kedah semalam.

“Kedudukan Pas di Kedah sangat kukuh dan kuat, dengan keutuhan pimpinan dan dukungan akar umbi yang tidak berbelah bahagi, sama ada dari sudut komitmen tenaga dan sumbangan ahli.

“Teruskan perjalanan, semoga terus mendapat berkat dan pertolongan daripada Allah SWT dalam memimpin rakyat negeri Kedah, nikmat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi mendakwa Pas Kedah mempunyai jentera pilihan raya yang mencukupi bagi membantu parti tersebut menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan terus menguasai kerajaan negeri itu.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, jentera tersebut perlu diuruskan sebaik mungkin agar dapat menarik lebih ramai pengundi untuk mengundi Pas.

Kedah merupakan salah satu kerajaan negeri pimpinan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) selain Kelantan dan Terengganu.

Untuk rekod, PN mempunyai 21 kerusi iaitu Pas 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi dan Barisan Nasional (BN) dua kerusi. – MalaysiaGazette