Polis menjalankan siasatan ke atas mayat seorang wanita yang maut dalam kes langgar lari di KM 7 Lebuh Raya Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Wanita maut selepas dilanggar kenderaan yang tidak dikenal pastiĀ  di KM 7 Lebuh Raya Persekutuan, pada jam 12.00 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berkenaan diketahui selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerusi satu laporan.

Siasatan awal mendapati mangsa, 33, sedang berjalan kaki apabila dilanggar kenderaan yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

“Mangsa berpakaian warna hitam telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Iqbal, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mohd Iqbal meminta saksi orang awam yang mempunyai maklumat kemalangan ini menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette