Anggota TLDM melakukan pengusiran bot-bot nelayan asing di Pulau Jarak.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan pencerobohan perairan negara dengan pengusiran enam buah bot nelayan asing berhampiran Pulau Jarak lebih kurang jam 2.15 petang tadi.

Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, pengusiran itu dilakukan oleh kapal TLDM iaitu KD Laksamana Hang Nadim selepas menerima maklumat daripada Control Reporting Center (CRC) Kuantan selepas bot-bot itu dikesan pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada KD Laksamana Hang Nadim yang kekal melaksanakan rondaan di lokasi sekitar lanjutan daripada pengusiran lapan buah bot nelayan asing yang dilaporkan semalam.

”KD Laksamana Hang Nadim melaksanakan tindakan pengusiran sehingga kesemua bot nelayan asing keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan serta mempergiatkan kerjasama bersepadu dengan kesemua agensi maritim di perairan negara bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia kekal terpelihara. – MalaysiaGazette