Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir untuk mencari peluang pekerjaan pada Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Majikan boleh didenda RM10,000 dan dipenjarakan sekiranya gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa sejak 1 Me lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, buat masa ini, kementeriannya menggunakan pendekatan menasihati majikan sebelum mengambil tindakan tegas.

“Kita telah menasihatkan dulu majikan yang terlibat, tanggungjawab KSM bukanlah menghukum mana-mana pihak, kita cuba menyelesaikan secara berhemah.

“Sekiranya masih gagal kita akan kenakan sebanyak RM10,000 denda pertama kali sekiranya gagal lagi kita akan denda setiap hari sehingga mereka menyelesaikan isu ini,” latanya kepada media selepas majlis perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Katanya lagi, antara alasan yang diberikan oleh majikan yang sehingga kini tidak melaksanakan gaji minimum adalah keadaan ekonomi dan kewangan syarikat yang berhadapan dengan risiko.

Terdahulu, Saravanan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan sejak Jun lalu sekurang-kurangnya 118 majikan dikesan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri juga ketika menyampaikan ucapan perasmian ekspo berkenaan turut menyuarakan kekecewaan terhadap majikan yang membayar gaji tidak setimpal kepada pekerja khususnya warganegara tempatan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM kecewa masih ada majikan tawar gaji tak setimpal