Pemuda Otai Refortmis, Mohd Fazli Mohd Hassan bercakap pada sidang media mengenai menggesa agar satu sidang khas dewan untuk membincangkan tiga isu utama berkaitan isu baik pulih Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan warta Hutan Simpan Bukit Cherakah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Otai Reformis hari ini menghantar memorandum kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim yang menggesa agar satu sidang khas dewan diadakan bagi membincangkan tiga isu utama melibatkan kepentingan awam.

Pemuda Otai Reformis, Mohd Fazli Mohd Hassan berkata, ia melibatkan isu baik pulih Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air Sg Rasau dan nyah warta Hutan Simpan Bukit Cherakah.

“Kami Otai Reformis memohon Speaker Dewan Negeri Selangor dapat segera mengadakan satu sesi khas dewan bagi membolehkan Ahli Dewan Negeri membincangkan isu-isu yang begitu penting.

“Kos baik pulih Stadium Shah Alam bernilai RM787 juta begitu tinggi dan mahal. Otai dimaklumkan tiada tender terbuka dilakukan untuk mendapatkan tawaran harga munasabah,” katanya kepada pemberita di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail (tengah) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Media Speaker Dewan Negeri Selangor, Cheah Jun Ning (dua kanan) mengenai menggesa agar satu sidang khas dewan untuk membincangkan tiga isu utama berkaitan isu baik pulih Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan warta Hutan Simpan Bukit Cherakah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

Terdahulu Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Media kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Cheah Jun Ning di luar pagar utama bangunan SSAAS.

Selain itu, Otai Reformis menuntut agar isu pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau bernilai hampir RM2 bilion dibincang dan dibahas wakil rakyat Selangor dalam persidangan Dewan Negeri kali ini.

“Otai dimaklumkan kos keseluruhan pembinaan loji rawatan air Sungai Rasau ini boleh mencecah RM6.47 bilion apabila projek siap itu sepenuhnya.

“Apakah perlu kita berbelanja besar untuk meneruskan projek ini dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi dan kenaikan harga barangan pasca pandemik Covid-19?” katanya.

Katanya lagi, sidang kali ini juga perlu membincangkan soal isu nyah warta Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 406.22 hektar atau kira-kira 1,003 ekar.

“Otai mempertikaikan Notis Pemakluman Warta Kerajaan Negeri dikeluarkan pada 5 Mei 2022 (dua bulan lalu) tetapi di ‘backdated’ yang mana kuat kuasa kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ketika Dr Mohamad Khir Toyo menjadi Menteri Besar pada 20 November 2000.

“Sesi Khas tersebut amat penting bagi membolehkan pihak Kerajaan Negeri merungkaikan persoalan tersebut agar pihak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor dilihat telus dalam memberi pencerahan kepada warga Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette