Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan hari ini diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berharap Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dikenali sebagai contoh institusi pengajian tinggi Islam yang pertama di Pantai Timur yang ditadbir dengan cekap, telus serta berintegriti.

Seri Paduka Baginda bertitah universiti tersebut akan terus meneroka bidang-bidang pengajian baharu dan berusaha  menjalinkan hubungan strategik dengan universiti Islan luar negara bagi menyebarkan syiar Islam.

Agong yakin UniPSAS mampu membentuk warganya menjadi benteng dalam menjaga akhlak dan moral demi melahirkan sebuah ummah yang kuat.

“UniPSAS juga hendaklah menjadi contoh dan teladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir dengan cekap, telus dan berintegriti.

“Keistimewaan utama UniPSAS adalah pada nama Islam yang menjadi teras utama kepada pengajian di universiti ini.

“Dalam kita meniti arus pemodenan dunia yang serba mencabar institusi pengajian Islam adalah benteng dalam menjaga akhlak dan moral demi melahirkan sebuah umat yang kuat,” titah Agong sempena pemasyhuran UnIPSAS di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga berkenan hadir pada majlis yang sama.

Titah Seri Paduka, kemampuan itu dengan tertubuhnya Akademik Hadis pada 2019 dan membudayakan pengajian hadis secara sistematik dalam kalangan masyarakat Pahang dan negara ini.

Selain itu, penubuhan Institut Jawi pada 2020 pula menjadi pemangkin pemerkasaan tulisan jawi di Pahang dan sejak ditubuhkan, ia menjadi pusat rujukan semua pihak khususnya dalam menyemak ketepatan ejaan dan penggunaan tulisan jawi.

Agong turut menitahkan UnIPSAS menjadi sebuah universiti yang membudayakan teknologi hijau dalam melestarikan alam sekitar agar dapat terus dinikmati generasi akan datang sekali gus selari dengan tuntutan Islam dan turut membawa imej yang baik kepada Islam.

Majlis pemasyhuran itu turut menyaksikan pelantikan Tengku Hassanal Ibrahim sebagai Canselor UnIPSAS oleh kerajaan Pahang.

Manakala Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Pro-Canselor I dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Pro-Canselor II.

Menyingkap sejarah, UnIPSAS bermula sebagai sebuah kolej kecil pada tahun 1996, yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Islam Pahang (KIP), dengan kumpulan pertama pelajar seramai 67 orang yang melibatkan pelajar lepasan sekolah agama kerajaan negeri Pahang.

Sebelum ini pernah dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kini dinaik taraf menjadi universiti penuh pada 1 Disember 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast