LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte berhasrat membawa bekas pemainnya di Inter Milan, Nicolo Barella untuk kembali bekerjasama pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu berjaya digilap Conte sehingga menjadi tonggak penting ketika membantu Inter merangkul gelaran Serie A pada musim 2020.
Conte sebelum ini mengakui meminati gaya permainan Barella yang menyebabkan timbul beberapa laporan di Itali bahawa pemain itu mungkin akan berhijrah ke London untuk kembali bersama bekas jurulatihnya itu.
Conte dikatakan mahu mendapatkan seorang lagi pemain tengah dan menamakan Barella sebagai calon terbaik diinginkannya itu biarpun sudah berjaya mendapatkan khidmat Yves Bissouma.
Bagaimanapun, impian Conte itu sukar direalisasikan apabila Barella memiliki kontrak sehingga 2026 di San Siro dan dinilai pada harga £60 juta (RM320.39 juta) sebagai yuran perpindahan.
Conte juga dilaporkan bakal melepaskan beberapa pemain tengahnya seperti Giovani Lo Celso, Tanguy Ndombele dan Harry Wink menyebabkan dia memerlukan pemain baharu untuk mengisi kekosongan tersebut.
Kelibat Barella bukan sahaja diminati Spurs, tetapi Liverpool juga dikatakan turut memantau selepas mereka gagal mendapatkan Aurelien Tchouameni yang memilih untuk bersama Real Madrid. – Agensi