Adi Putra hadir di Pembukaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Kali ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.

MELAKA – Kemunculan ‘Mat Kilau’ menggamatkan hampir 1,000 peserta dan hadirin pada Pembukaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Kali ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.

Penampilan istimewa Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu menerusi Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu dengan menyampaikan dialog dalam filem berkenaan selama lebih tiga minit nyata mengejutkan semua hadirin.

Terdahulu, Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung selama enam hari itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Majlis itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) Datuk Seri Probowo Subianto, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin

Kejuaraan kali ini menghimpunkan hampir 500 pesilat dari 40 buah negara antaranya India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir dan Amerika Syarikat bagi merebut gelaran juara dunia dalam 32 acara yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette