Sergej Milinkovic-Savic. Foto Manchester Evening News.

LONDON – Nama pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic kembali muncul menjadi sasaran utama Manchester United selepas kelab itu terus gagal mendapatkan khidmat Frenkie De Jong, lapor Daily Mail.

Pengendali United, Erik Ten Hag kini menamakan Milin­kovic-Savic sebagai calon alternatif untuk dibawa ke Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, nilai pemain berusia 27 tahun itu pastinya tidak murah apabila Lazio dilaporkan meletakkan tanda harga sekitar £60 juta (RM320.39 juta) untuk melepaskan Milin­kovic-Savic yang meledak 48 gol sepanjang tujuh tahun beraksi di Serie A.

Ketika ini, Arsenal juga dilaporkan berminat untuk menerokai potensi perpindahan tersebut namun nilai berkenaan menjadi halangan.

Sekiranya United bersetuju dengan nilai tersebut, Lazio dilaporkan tidak mempunyai halangan, malah mereka juga mengakui bersedia melepaskan Milinkovic-Savic sejak awal jendela perpindahan dibuka lagi.

Milinkovic-Savic tidak pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Rom, namun berbaki dua tahun kontraknya bersama Lazio, ia adalah masa yang tepat untuk kelab itu meraih keuntungan melalui penjualannya.

Musim lalu, menyaksikan pemain dari Serbia itu berjaya meledak 11 gol dan melakukan 11 umpanan jaringan buat Lazio.

Prestasi itu juga memberikan United idea untuk menukar minat mereka daripada kekal me­nunggu keputusan De Jong kepada mendapatkan khidmat Milinkovic-Savic yang dianggap sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik di Itali. – Agensi

https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-11043825/Manchester-United-considering-Lazios-Sergej-Milinkovic-Savic-alternative-Frenkie-Jong.html