Tomohiro Kato dikawal ketat oleh polis. Foto RTE

TOKYO – Jepun telah melaksanakan hukuman bunuh ke atas seorang lelaki berusia 39 tahun yang membunuh tujuh orang pada tahun 2008 semasa kejadian amuk di sini.

Tomohiro Kato terlibat dalam pembunuhan besar-besaran yang paling mengejutkan dalam sejarah Jepun.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 25 tahun.

Dia yang memandu trak telah merempuh kumpulan pejalan kaki waktu makan tengah hari di daerah beli-belah Akihabara, membunuh tiga orang.

Tidak lama kemudian, dia menikam orang yang lalu lalang dengan keris, membunuh empat dan mencederakan lapan lagi.

Dia telah ditangkap oleh polis di tempat kejadian dan kemudiannya mengaku bersalah ketika dituduh di mahkamah.

Kato mendakwa dia marah perbuatan buli dalam talian.

Jenayah itu mencetuskan banyak perdebatan dalam masyarakat Jepun pada masa itu mengenai pembunuhan rambang, pengaruh dalam talian dan kegagalan dalam sokongan kesihatan mental untuk golongan muda.

Undang-undang mengenai pemilikan pisau juga diperketatkan susulan kejadian itu.

Pada hari ini, selepas lapan tahun Kato dijatuhi hukuman mati.

“Kes itu telah dibicarakan sepenuhnya di mahkamah dan kesimpulan akhir mahkamah ialah hukuman mati… saya telah mengambil langkah terbaik yang mungkin dalam mempertimbangkan kes ini,” kata Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa pada sidang akhbar.

Kato dihukum gantung di Pusat Tahanan Tokyo. Dia kehilangan peluang untuk meringankan hukuman di mahkamah tertinggi Jepun pada 2015. – BBC