Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun bercakap pada sidang media sleepas Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di Hotel Priemera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjangkakan sebanyak 28,303 kampung termasuk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan menikmati rangkaian internet yang lebih baik menjelang 2025.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ramlan Harun berkata, ia sebahagian daripada Aspirasi Keluarga Sejahtera kementerian itu sebagai langkah untuk memperkasakan aktiviti ekonomi di luar bandar.

“Kami juga telah berbincang dengan menteri, ada beberapa program lain yang akan kita buat dulu sebelum 2025.

“Program ini akan melibatkan syarikat swasta, kita telah mendapat pelbagai cadangan daripada mereka, perkara ini akan kita perincikan lagi sementara nak menunggu 2025.

“Insya-Allah 2025 kalau pada janji Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semua kampung akan terhubung dengan internet,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di Hotel Priemera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2022.

Terdahulu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid merasmikan Majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Sejahtera di Hotel Premiera, di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah.

Dalam pada itu, Ramlan juga berkata, pihaknya mencari kampung yang menepati konsep Kampung Sejahtera untuk ditambah baik sebelum diangkat sebagai contoh kepada masyarakat luar bandar di seluruh negara.

“KPLB mengambil pendekatan, kita akan cari model sebenar kampung-kampung berpotensi untuk kita gilap dan seterusnya mencapai tahap Kampung Sejahtera yang dihasratkan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar.

“Insya-Allah melalui komitmen dan kerjasama semua pihak terutamanya penduduk dan pemimpin di kampung, kita akan capai satu tahap di mana kampung-kampung ini jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.

“Kampung Sejahtera ini merupakan muktamad kepada pembangunan luar bandar, kalau kampung-kampung mencapai tahap itu, maknanya kita sudah berjaya mengatasi isu di kampung, kemudian kita boleh mara selangkah ke hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette