Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah Putrajaya tidak ada keputusan muktamad untuk mengkaji Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketika sidang perbahasan kepada pindaan terhadap Subseksyen 4(5) akta berkenaan, Muhyiddin berkata,  tiada keputusan dibuat ke arah itu.

“Memang kaji saya ingat tapi tidak ada keputusan muktamad dalam kerajaan ketika itu untuk kaji SOSMA,” jelasnya ketika membahaskan pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat hari ini.

RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam pada itu  bangun dan  mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang menahan seorang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP atas tuduhan SOSMA ekoran dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam LTTE.

“Apa bukti yang menunjukkan ADUN DAP dan Exco terlibat dalam keganasan, tidak ada bukti. Kamu khianati kami dan menyebabkan ahli kami ditahan di bawah SOSMA?” dakwa Rayer.

Muhyiddin berkata, segala apa yang telah dibuat oleh polis adalah berdasarkan kepada siasatan yang telah buat.

“Saya tidak boleh kata kepada Ketua Polis Negara berbohong, kalau tidak ada bukti dan sudah disahkan tidak ada bukti maka pihak berkuasa boleh buat keputusan untuk gugur kes,” katanya.

Sebelum itu, sesi perbahasan melibatkan Muhyiddin kecoh seketika apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang  bangun dan kembali melabelkan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai pengkhianat.

Rayer menyentuh mengenai penahanan Exco Melaka G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Muhyiddin ketika itu memegang jawatan Menteri Dalam Negeri PH.

“Laporan itu telah diteliti halus oleh pihak polis dan sebagai menteri yang bertanggungjawab saya mesti percaya dan yakin kepada polis, saya bukan penyiasat.

“Waktu saya ambil tindakan itu tidak ada keputusan daripada jemaah Menteri yang dipimpin Langkawi (Tun Dr. Mahathir) untuk mengatakan batal semula atau pun jangan ambil langkah sebegitu.

“Saya tertakluk kepada arahan Kabinet walaupun ia terletak kepada kuasa Menteri Dalam Negeri, malahan waktu itu tidak ada satu keputusan untuk batalkan SOSMA.

“[…atas dasar itu saya percaya waktu saya berada di situ, pihak PH pun kata perlu ada SOSMA, tidak ada keputusan muktamad, Shah Alam (Khalid Samad) pun ada dalam Kabinet,” jawab Muhyiddin.

Mendengar kenyataan itu, Khalid (PH-Shah Alam) mengeluarkan kenyataan bahawa perbahasan mengenai SOSMA ada dibawa ke Kabinet ketika itu.

“Memang kita (PH) ada perbahasan dalam Kabinet sehingga kita bawa Datuk Ayob Khan datang untuk jelaskan dan kita telah berhujah dengan dia dan kita minta supaya ianya dikaji kembali,” kata Khalid.

Untuk rekod, pindaan Subseksyen 4(5) bagi membolehkan pelanjutan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan melebihi 28 hari selain tahanan diberi hak sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast