MANILA – Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda Pulau Luzon di utara Filipina pada hari Rabu mengorbankan empat orang, merosakkan bangunan dan menghantar gegaran kuat melalui ibu negara, Manila.
Dua orang terbunuh di wilayah Benguet, seorang di wilayah Abra dan seorang lagi di wilayah lain, kata Setiausaha Dalam Negeri Benjamin Abalos pada sidang akhbar.
Manakala 60 orang lagi cedera.
Gempa itu melanda kira-kira 11 kilometer tenggara bandar Dolores pada kedalaman 10 kilometer, menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat.
“Walaupun terdapat laporan yang menyedihkan mengenai kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi, kami memberi jaminan respons cepat kepada mereka yang memerlukan bantuan dan terjejas akibat bencana ini,” kata Presiden Ferdinand Marcos Jr melalui Facebook.
Pengarah agensi seismologi Filipina, Renato Solidum, memberitahu stesen radio DZRH, gegaran susulan yang kuat itu sudah dijangka berlaku.
“Tumpuan perhatian adalah di Abra dan wilayah berdekatan. Ia adalah gempa bumi besar,” kata Solidum.
Abalos berkata, sebanyak 173 bangunan rosak dan 58 tanah runtuh dilaporkan, dengan 44 daripada 60 cedera di wilayah Abra.
Sebuah hospital di wilayah Abra telah dipindahkan selepas sebahagian bangunan itu runtuh tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Naib gabenor Abra, Joy Bernos, menyiarkan gambar hospital Abra yang rosak di akaun Facebooknya. – Reuters