chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar bahawa kementerian itu sedang berusaha mengimport ayam sejuk beku dalam memastikan bekalan ayam mencukupi di negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata,  langkah itu akan memusnahkan industri ternakan ayam tempatan sekiranya ayam import sememangnya lebih murah.

Jelas beliau, penternak ayam mungkin rasa lebih mencabar untuk kelangsungan hidup sekiranya negara terlalu bergantung kepada ayam sejuk beku diimport selain memaksa mereka menghentikan operasi.

“Kerajaan sepatutnya mengenal pasti dan membangunkan penyelesaian jangka panjang memandangkan negara ini amat memerlukan penambahbaikan jaminan keselamatan makanan.

“Malah, kerajaan sepatutnya lebih fokus kepada cara untuk mengurangkan kos pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohideen Abdul Kader

Mengulas lanjut Mohideen berkata, terdapat banyak penyelidikan yang dijalankan universiti tempatan, mengenai makanan haiwan menggunakan sisa kelapa sawit selama bertahun-tahun.

Jelas beliau, kos makanan pula didakwa mengambil kira-kira 70 peratus daripada kos pengeluaran ayam dan telur.

“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan bahawa ia akan mengguna pakai kaedah baharu yang dikaji oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu bagi menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif.

“Ini juga dapat menurunkan kos pengeluaran makanan ayam kepada 70 sen berbanding kos semasa RM1.70 dan ini bermakna pengurangan kos kira-kira 60 peratus. Kaedah pengeluaran makanan ternakan ini sudah dilaksanakan di Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette