ROMPIN – Pusat Islam (PIU), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM dan Putra Bakti UPM buat julung-julung kalinya mengadakan aktiviti dakwah serta memberi bantuan kepada pelajar asnaf UPM di sekitar daerah Rompin dan Temerloh, Pahang secara bermotor.

Pengarah PIU UPM, Zuhaimi Abdul Rahim berkata, kira-kira 20 pelajar asnaf UPM di sekitar daerah Rompin dan Temerloh menerima sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan harian manakala 40 penduduk asnaf di sana menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada UPM.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk  Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, sumbangan bantuan yang diberikan kepada pelajar asnaf UPM akan memberi motivasi kepada pelajar tersebut untuk meneruskan pengajian secara bersungguh-sungguh di UPM.

”Semoga pelajar asnaf UPM yang menerima bantuan berbentuk kewangan dan barangan mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya selain menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

”Pihak WAZAN akan terus-menerus membantu pelajar UPM yang kurang berkemampuan agar semua pelajar ini menamatkan pengajian dan meneruskan kehidupan dalam membantu keluarga,” katanya.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Nor Amirah Solehah Ahmad Baijuri berkata, bantuan yang diberikan oleh UPM itu menjadi pendorong buat dirinya untuk meneruskan pengajian dan mencapai cita-citanya.

”Saya akan jadikan bantuan ini sebagai penambah semangat saya untuk terus belajar sebab arwah emak saya pesan satu sahaja, dengan ilmu mampu mengubah taraf hidup kita. Terima kasih kepada semua penyumbang,” katanya.

Ibu kepada Nurul Aini Saharudin, Bacelor Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang turut menerima bantuan, Mazlina Che Omar, 46, meluahkan rasa syukur apabila UPM sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan pelajarnya yang kurang berkemampuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UPM sebab kalau UPM tidak turun padang mesti tidak akan tahu kami golongan yang susah dan tinggal di pedalaman serta mempunyai masalah rangkaian internet.

”Anak saya merupakan anak sulong jadi saya harap beliau dapat memberi contoh yang terbaik dan menyuntik semangat adik-adiknya yang lain. Saya memang selalu mengingatkan anak-anak saya untuk terus belajar kerana ilmu itu sangat penting,” katanya.

Selain program kembara memberi sumbangan kepada pelajar asnaf, program yang bermula pada 16 sehingga 18 Julai ini juga telah menjalankan aktiviti forum, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan gotong-royong di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin dalam mencapai aspirasi UPM ‘Menggema Seruan Al Falah dari menara ilmu’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast