Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan agar wakil rakyat yang bertindak melompat parti agar tidak diberikan ruang untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Langkah itu, katanya, perlu bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana ahli Parlimen yang dipilih rakyat semasa pilihan raya untuk tidak sesuka hati melompat parti pada masa depan.

“Saya mencadang bahawa yang melompat tak dibenar bertanding dalam PRN tapi kelihatan apa yang kita nak pinda ini (Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti) kelihatan akan benar mereka melompat bertanding semula.

“Pada saya perkara itu tak wajar kerana kita perlu hukum mereka yang melompat. Kita tak perlu benarkan mereka tanding dalam pilihan raya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapan perbahasan itu juga, Ahmad turut mencadangkan supaya satu undang-undang dibuat di mana wakil rakyat melompat selepas menang perlu membayar semula dana politik yang diberikan parti untuk kempen bagi memenangi pilihan raya.

“Saya nak cadang juga sebelum mereka bertanding ada perjanjian dibuat antara parti dengan mereka yang bertanding, jadi kalau mereka melompat mereka hendaklah memulangkan jumlah yang dibenarkan contohnya seorang ADUN tak lebih RM200,000.

“Jadi mereka kena pulangkan semula jumlah dana itu kepada parti mereka, jadi jika itu boleh dibuat, mereka akan fikir banyak kali sebelum melompat,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO itu turut mencadangkan supaya RUU sama termaktub kepada larangan meliputi kepada Ahli Dewan Negara.

Dalam pada itu, Ahmad meminta kerajaan untuk menjelaskan kekaburan yang masih berlaku dalam RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti sama ada seseorang wakil rakyat itu akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya mereka melompat dalam parti gabungan sendiri.

“Kekaburan masih berlaku dalam RUU ini, jika mereka tanding guna lambang PN dalam pilihan raya contohnya wakil rakyat Bersatu atas logo PN kemudian menyertai Pas, apakah ia dikira melompat.

“Sebagai contoh juga apakah wakil rakyat itu tanding misalnya Kimma tanding atas lambang BN, selepas menang beliau melompat ke dalam UMNO dalam gabungan BN apakah ia dikira melompat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast