Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas majlis sambutan Jubli Perak 25tahun PTPN di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menyambung Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pembangkang yang akan tamat pada 31 Julai ini.

Tambah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan dan pembangkang juga bersetuju tidak akan membuat perjanjian baharu selepas tarikh berkenaan.

Jelas beliau, kepentingan rakyat perkara yang lebih mustahak untuk ditumpukan berbanding kesinambungan MoU.

“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.

“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.

“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini.

Sebelum ini UMNO menegaskan MoU bersama pembangkang tidak akan disambung.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata,  pembubaran Parlimen tidak bergantung kepada mana-mana pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat.

Sebaliknya ujar beliau, pembubaran akan dilakukan apabila sampai waktu yang sesuai.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan ‘masa yang sesuai’ itu secara spesifik.

“Pembubaran Parlimen tidak bergantung kepada mana-mana (RUU). Asalkan sampai waktunya, sesuai untuk dibubarkan maka bubarlah. Sama ada tahun ini atau tahun depan,” tambahnya.

Sebagai rekod, Ismail Sabri hari ini membentangkan Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Dalam masa yang sama, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)  baru-baru ini memaklumkan satu usul bagi membentangkan RUU persendirian mengenai Pendanaan Politik.

Usul itu telah diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.-MalaysiaGazette