BANGI – Pasangan suami isteri yang mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dijatuhi hukuman RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, warga Singapura dan Amira Hamzah, 28, warga tempatan dituduh melakukan penganiayaan keatas mangsa seorang kanak-kanak itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal antara April hingga Julai lalu.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Jika kedua-dua tertuduh didapati gagal membayar denda, mereka boleh dipenjarakan selama 12 bulan.

Mengikut fakta kes, penderaan itu dilakukan di rumah No. 46, Jalan Eco Majestic, Semenyih, pada pukul 1.25 tengahari pada April 2022 hingga 18 Julai 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum dijatuhkan hukuman, pasangan yang tidak diwakili mana-mana peguam itu memohon maaf atas tindakan mereka dan kemudian memohon hukuman diringankan dengan alasan tiada niat untuk mendera mangsa sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka yang enggan makan.

“Kami tiada niat nak dera anak, saya pukul dia sebab risau akan kesihatan dia yang kurang nutrisi sebab tidak makan. Saya memang pukul tapi bukan dengan niat untuk mendera.” kata Muhammad Fitri Jasmani.

Ketika penghujahan  Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid berkata, kedua-dua pasangan itu tidak amanah dan tidak memikul tanggungjawab dalam menjaga mangsa.

“Pada umur mangsa sedemikian, dia sepatutnya diberikan perhatian dan kasih sayang. Kecederaan yang dialami mangsa bukannya di satu bahagian tempat sahaja tapi di beberapa anggota badan yang lain.

“Ini akan menyebabkan mangsa trauma selama seumur hidup kerana tindakan tertuduh bukan mendidik tapi zalim dan tidak adil” katanya.

Sementara itu di mahkamah sama, Muhammad Fitri yang dijatuhi hukuman maksimum RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menetap lebih tempoh yang dibenarkan di negara ini di tempat sama pada pukul 2.30 pagi 22 Julai lalu.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 (Akta A 1154) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini tular di media sosial, seorang kanak-kanak yang diserahkan oleh ibu bapanya warga Indonesia di bawah jagaan sepasang suami isteri.

MalaysiaGazette melaporkan mangsa yang berusia empat tahun dikatakan dipukul menggunakan penyidai, kayu penyapu serta pemetik api.

Kejadian berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah taman perumahan di Beranang yang mana pengadu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun membuat laporan polis mengenai anak angkat kepada pasangan suami isteri itu telah didera.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pasangan suami isteri mengaku bersalah dera anak angkat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast