Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman (kiri), menyerahkan jumlah keseluruhan pungutan zakat korporat kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr Mohd Daud Bakar (kanan), sambil diperhatikan Ahmad Marzuk Shaary (tengah), pada Majlis Zakat Korporat 2022, di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (PPZ-MAIWP) mengutip sebanyak RM56.6 juta zakat perniagaan daripada 2,453 pembayar setakat enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, dalam tempoh itu jumlah kutipan zakat di PPZ-MAIWP meningkat sebanyak sembilan peratus iaitu sebanyak RM423 juta.

“Daripada jumlah berkenaan (kutipan tahun ini) RM56.6 juta adalah hasil daripada kutipan zakat perniagaan”

“Jumlah ini lebih banyak berbanding keseluruhan RM387 juta yang dikutip dalam tempoh sama pada tahun lalu.” katanya dalam sidang media selepas hadir ke Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Perdana, Kuala Lumpur.

Beliau menyeru masyarakat dan sektor korporat supaya terus komited membayar zakat kepada PPZ-MAIWP kerana sasaran untuk baki tahun ini adalah RM900 juta.

Terdahulu dalam majlis sama, PPZ-MAIWP menerima bayaran Zakat Perniagaan daripada 20 buah syarikat korporat sebanyak RM11.2 juta dalam Majlis Zakat Korporat 2022 di sini, hari ini.

hmad Marzuk Shaary

Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP.

Sementara itu, Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sukar untuk menjangkakan kutipan zakat perniagaan dengan situasi ekonomi yang kini tidak menentu.

Namun beliau optimis syarikat-syarikat korporat di negara ini cakna dengan tanggungjawab dan kewajipan dalam menunaikan zakat perniagaan mereka.

“Saya menyeru syarikat serta individu untuk menunaikan zakat supaya jumlahnya mencukupi untuk menampung perbelanjaan bantuan zakat asnaf di wilayah ini”

“Jika kita yang masih ada pendapatan perniagaan ini terkesan, apatah lagi buat golongan yang kurang berkemampuan” katanya.

Turut hadir ke majlis itu, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman. – MalaysiaGazette