Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memberikan bayangan jelas mereka akan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti) yang mengambil tempat hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memberikan bayangan jelas mereka akan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti) yang mengambil tempat hari ini.

Semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang rata-ratanya menyambut baik perbentangan RUU ini yang dianggap ia sesuatu yang tepat pada waktunya.

Menurut Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), RUU ini digubal bagi mengelak Langkah Sheraton berulang semula.

Katanya, perancangan pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan sistem demokrasi negara lumpuh sepenuhnya.

“Selepas ini kita lihat walaupuan nak bina semula keyakinan rakyat kepada Parlimen, dengan RUU ini mungkin ambil masa lima hingga 10 tahun lagi bukan senang setelah dirosakkan melalui Langkah Sheraton.

“Gerakan syaitan itu yang menyebabkan lingkup habis sistem politik Malaysia, ini perkara yang besar yang berlaku,” katanya semasa membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada peringkat dasar hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula melahirkan kebimbangan sekiranya ada negeri-negeri yang tidak mahu mengikut pindaan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Lompat Parti yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

“Ketakutan saya ialah peringkat negeri-negeri kerana saya melihat bahawa kita tidak boleh memaksa negeri-negeri tetapi saya harap ahli Parlimen dari blok sebelah sana yang ada memegang negeri di Selangor, Pulau Pinang, wajibkan negeri-negeri itu melaksanakan undang-undang ini.

“Kalau tidak, seolah-olah pusat tak ada ‘katak’, negeri pula banyak ‘katak’ dan kerajaan bertukar-tukar. Itu tidak begitu adil,” katanya semasa membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada peringkat dasar hari ini.

Anthony Loke (PH-Seremban) pula berkata, DAP sedia untuk meminda perlembagaan partinya jika mana-mana ahli Parlimen daripada mereka yang dipecat daripada parti dianggap sebagai lompat parti.

“Dalam perkara ‘Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan itu akibat pemecatan oleh parti politiknya’, umpamanya. Dalam konteks tertentu, pemecatan itu boleh dianggap sebagai lompat parti. Maksudnya, jika seorang Ahli Dewan Rakyat mengambil keputusan melanggar keputusan partinya, dia boleh dipecat dan dia perlu mengosongkan kerusinya.

“Malangnya, perkara ini tidak mendapat konsensus dan tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan ini. Jika menteri (Wan Junaidi) kata perkara ini boleh dilaksanakan, saya berjanji DAP akan menjadi parti politik pertama yang akan meminda perlembagaan parti untuk memasukkan seksyen ini,” katanya dalam sesi perbahasan sama hari ini.

Turut mengambil bahagian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Syed Saddiq berkata, ini merupakan jalan perintis kepada perubahan Malaysia baharu.

Jelasnya, sesiapa yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak harus berpegang kepada kerajaan yang tidak menekan rakyat.

Malah katanya, kerajaan juga harus memastikan rakyat diberikan kuasa untuk menentukan arah politik dan bukannya pencatur politik.

“Ini masanya untuk ubah supaya rakyat lihat ini perubahan kepada mereka dan bukan kepada pencatur politik.

“Saya yakin jika Perdana Menteri dapat luluskan RUU ini, perkara tersebut akan disokong oleh penyokong kerajaan mahu pun pembangkang,” katanya ketika membahaskan RUU terbabit di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan RUU berkenaan berkata, kerajaan harus memperkenalkan RUU baharu bagi parti politik yang gagal menunaikan janji manifesto selepas memenangi pilihan raya digugurkan secara automatik dari terus menjadi kerajaan.

Bung membuat cadangan itu apabila terdapat parti politik menjadi kerajaan selepas memenangi pilihan raya gagal menunaikan janji dan menipu rakyat.

“Satu lagi saya nak cadang kepada kerajaan bawa RUU baharu diperkenal kalau wakil rakyat nak diperkasakan nak dibuat anjakan paradigma parti juga kena ada maruah.

“Mana-mana parti menang pilihan raya membuat janji macam-macam tapi bila jadi kerajan tak tunai janji maka mereka automatik boleh digugurkan sebagai kerajaan.Ini penting, salah satu faktor PH tumbang kerana mereka menipu rakyat,

“…janji banyak semua percuma tapi rakyat tunggu tak ada, hapuskan PTPTN tiada, minyak tak turun. Saya minta kerajaan buat satu akta RUU baharu mana-mana parti yang menyertai pilihan raya menang janji banyak kepada rakyat jadi pemerintah tak tunai janji, tipu rakyat maka setahun atau dua tahun perlu digugurkan dari kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette