Ahli Parlimen Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Perbentangan kerajaan mengenai Rang Undang-Undang  (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan yang dibuat Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya menganggap perbentangan RUU yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini merupakan satu permulaan yang sangat bermakna dan bersejarah.

“Walaubagaimanapun kita mengambil kira beberapa pandangan lain dan kita anggap ini satu permulaan yang sangat bermakna, sangat bersejarah kerana kesannya bukan sahaja dari segi undang-undang perlembagaan tetapi pengertian moral, integriti ahli Parlimen yang tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah.

“Kerana kesannya bukan sahaja dari segi undang-undang perlembagaan tetapi pengertian moral, integriti ahli Parlimen yang tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah,” katanya ketika membahaskan RUU ini di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang itu turut berkata, perbentangan RUU ini sekaligus dapat mengembalikan kestabilan politik.

“Kalau Yang Berhormat kaji daripada Wikipedia, Malaysia terus naik di antara negara yang melahirkan ahli-ahli Parlimen  tidak berprinsip dan khianat serta boleh menggadai prinsip mereka seperti apa yang berlaku dalam Langkah Sheraton,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, RUU ini jelas memberikan gambaran bahawa kerajaan mahu menghentikan budaya khianat terhadap parti dan membendung aktiviti lompat parti.

“Mengapa nak pinda perlembagaan, mengapa nak hentikan cerita khianat, belot dan tipu ini. Kerana isu maruah dan integriti ahli Parlimen. Janji kepada rakyat kemudian tukar.

“Tukar itu alasan apa? Alasan wang, alasan jawatan yang menjanjikan dan menerima wang dan jawatan harus disiasat. Sehingga hari ini belum ada siasatan. Itu hal yang mesti dikaitkan dengan pindaan,” bahas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Tambah Anwar, ikhtiar terbaru ini juga adalah percubaan untuk menghindari daripada Langkah Sheraton berulang.

Selain itu, Presiden PKR itu menambah, pindaan perlembagaan ini berlaku kerana ada kesilapan besar di dalam sistem dan semua pihak mengakuinya.

“Ada lompongan dalam sistem yang membolehkan ahli-ahli politik itu jadi bahan dagangan dijual dengan harga atau kedudukan.

“Dan ini saya katakan sekali lagi menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terutama orang muda terhadap ahli politik dan sistem politik,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette