Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen UMNO secara terang terangan menggelar Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘bapa loncat’.

Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Bertukar Parti di Dewan Rakyat berkata, tidak puas hati dengan kenyataan Dr. Mahathir yang mencadangkan keseluruhan parti dibenarkan melompat untuk membentuk kerajaan yang lebih kukuh selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Semalam, Langkawi (Mahathir) bangun bahas minta lagi dia orang loncat. Kalau esok ada pilihan raya, kita kena loncat untuk tubuhkan kerajaan demi kestabilan.

“Langkawi ialah ‘bapa loncat’. Daripada UMNO jadi Perdana Menteri dan akhirnya dia marah dekat beberapa orang, apa berlaku masuk Bersatu jadi Pengerusi.

“Lepas itu tipu, khianati kawan-kawan dalam Bersatu dan masuk Pejuang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Azeez merujuk kepada cadangan Dr. Mahathir yang mahu aktiviti lompat parti dibenarkan sekiranya membabitkan keseluruhan parti dengan syarat mendapat restu tertinggi parti terlebih dulu.

Dalam perbahasan sama, Azeez turut mencadangkan tindakan diambil terhadap seluruh kepimpinan tertinggi parti yang menerima ahli politik lompat parti termasuk presidennya dengan mengosongkan kerusi mereka sebagai ahli Parlimen atau ADUN.

Tindakan itu jelas beliau perlu bagi mengelak wakil rakyat melompat parti.

Tidak puas hati dengan kenyataan Azeez, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) bangun berkata, Azeez membuat kenyataan mengelirukan dewan.

“(Ahli Parlimen) Baling perlu jujur dengan kenyataan dibuat. Semalam Jerlun (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sudah buat penjelasan mengapa Dr. Mahathir letak jawatan dan disokong Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

“Sila semak fakta sebelum buat tuduhan,” kata Dzulkefly.

Ia selepas Azeez menimbulkan persoalan bahawa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang lain diam membisu daripada menegur Mahathir yang menjadi punca kerajaan tidak stabil ketika ini.

Jelas Azeez, Dr. Mahathir bersalah kerana melepaskan jawatan perdana menteri sehingga menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.

“Saya hairan sekali tidak siapa tegur Dr M kerana kesilapan khianati rakyat,” katanya mengakhiri bahasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast