Mangsa banjir Baling, Kedah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara.

BALING – Sebanyak 19 keluarga membabitkan 58 mangsa dari Kampung Padang Empang, Kupang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, di sini, selepas kediaman mereka dinaiki air semalam.

Kesemua mangsa dipindahkan pada jam 10 malam susulan kawasan kediaman mereka dinaiki air setinggi satu meter, sekali gus tidak selamat untuk didiami.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat jam 8 pagi tadi satu PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir berikutan hujan masih berterusan sejak petang yang mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah.

Air Sungai Kupang melimpah hingga ke laluan Jambatan Bailey.

“Semalam, pihak kami menerima laporan banjir pada jam 5.30 petang dan 17 anggota termasuk pegawai diarahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

“Selain itu, berdasarkan arahan daripada polis sekiranya hujan masih berterusan dan air sungai semakin meningkat, laluan jambatan Bailey di Kampung Iboi perlu ditutup untuk keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Muaz berkata, beberapa kampung lain turut dinaiki air antaranya Kampung Iboi, Bendang Bechah, Bendang Padang dan kawasan Sekolah Menengah Yayasan Agama Khairiah, Kupang.

Terdahulu, insiden kepala air dan banjir sekali lagi melanda Kampung Iboi selepas hujan lebat hampir tiga jam.

Kejadian yang berlaku jam 2 petang itu menyebabkan air sungai laju yang melimpah dari Gunung Inas mengalir deras di Jambatan Bailey.

Keadaan selepas insiden kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling Kedah pada 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, kejadian kali ini tidak seperti kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu yang meragut nyawa tiga sekeluarga. – MalaysiaGazette