KUALA LUMPUR – Pemimpin Kanan DAP Lim Kit Siang terkejut dengan perubahan pemikiran bekas Pengerusi DAP Kelantan Datuk Zaid Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pekan,Datuk Seri Najib Razak.
Kit Siang mempersoalkan bolehkah Zaid mempengaruhi sekurang-kurangnya seorang untuk menukar fikiran bahawa Najib tidak bersalah dalam kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya terkejut dengan pemikiran baharu Zaid Ibrahim tetapi bolehkah dia mempengaruhi sekurang-kurangnya seorang untuk menukar fikiran mereka untuk percaya yang Najib Razak tidak bersalah dalam skandal mega 1MDB yang melibatkan berbillion dolar?
“Saya amat terkejut dengan perubahan pendirian Zaid, terutamanya selepas penerbitan lebih daripada 100 muka surat penghakiman Azimah mengenai kes saman bekas Peguam Negara Mohamad Apandi terhadap saya pada minggu lepas.
‘Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah bagaimana Zaid seorang bekas Menteri Kabinet, boleh berubah fikirannya mengenai Najib dan skandal 1MDB selepas membaca penghakiman Azimah ini? Atau adakah dia belum membaca penghakiman ini?” tanya Kit Siang.
Pada 26 Julai lalu, Najib melantik Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Zaid dalam video di Facebook awal bulan ini memberi penjelasan yang menjadi pembayang untuk dia membantu Najib.
“Masa itu saya yakin dia terlibat dalam skandal 1MDB secara langsung. Selepas mendengar kes di mahkamah, khususnya kes SRC dan 1MDB, saya mengubah fikiran.
“Sekarang saya yakin Najib kena tipu. Najib ditipu bukan saja oleh Jho Low tetapi pegawai-pegawainya, pegawai dalam 1MDB. Dia ditipu oleh Goldman Sachs, dia ditipu oleh Aabar Investments dari Abu Dhabi.
“Jadi kehilangan wang berbilion ringgit itu, pada pendapat saya, bukanlah kesalahan dia, dalam erti kata dia yang merancang semua itu,” kata Zaid dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Tambah Zaid, sebagai perdana menteri, Najib memang bertanggungjawab terhadap perkara itu.
“Tetapi itu soal lain. Kebertanggungjawaban itu sebab dia perdana menteri tapi saya rasa dia bukanlah yang merancang untuk menipu rakyat Malaysia,” katanya.
Zaid menyertai DAP pada 7 Februari 2017 dan dilantik menjadi Pengerusi DAP Kelantan pada 10 Januari 2020.
Beliau memutus untuk membantu DAP menerangkan kepada kaum Melayu yang didakwanya takut serta tidak percaya kepada parti itu bahawa DAP bukannya sebuah parti yang rasis, ekstremis atau anti Islam.
Zaid bagaimanapun pada 8 Oktober 2020 menyatakan dia tidak lagi menjawat jawatan sebagai Pengerusi DAP Kelantan.-MalaysiaGazette
alaaa Uncle…kes terowong anak ko tu apa cerita? Tommy Thomas gugurkan kes banglo anak ko tak terkejut kaaa? haaaa