KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik pengecualian bayaran balik bagi peminjam tabung ini kepada kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
Keistimwaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob buat peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.
Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, sebelum ini mulai tahun 2019, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN hanya diberikan kepada peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bagi kategori kumpulan B40 dan M40 sahaja.
”Dengan pengumumanPerdana Menteri ini sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai 2022, insentif ini akan diperluaskan kepada semua kategori peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 tanpa mengira had pendapatan,” katanya di sini.
Tambah beliau, bagi memastikan insentif ini dilaksanakan dengan berkesan, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan peruntukan dan kaedah pelaksanaan akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan.
Pemberian insentif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dan sebagai dorongan untuk menggalakkan pelajar yang merupakan peminjam PTPTN untuk mencapai pendidikan dengan cemerlang.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa komited memastikan agar urusan berkenaan pengecualian bayaran balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan para peminjam PTPTN. – MalaysiaGazette
Pengecualian bayaran PTPTN kepada graduan ijazah sarjana muda kelas pertama – PM