Minyak masak terpakai yang dijual orang awam ditimbang sebelum harganya ditentukan dalam Program Tukar Barang Terpakai Kepada Wang di perkarangan Dewan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.

KUANTAN – Ramai dalam kalangan masyarakat memilih untuk membuang minyak masak yang telah digunakan.

Namun ramai yang tidak sedar ia boleh dikitar semula dan seterusnya dapat menjana pendapatan tambahan selain dapat memulihara alam sekitar.

Bagaimanapun minyak masak terpakai perlu dilupus dengan kaedah tertentu bagi mengelakkan pencemaran.

Sebagai usaha memberi kesedaran masyarakat tentang kebaikan tentang kitar semula, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama Om Srijadamuno Enterprise hari ini menganjurkan Program Tukar Barang Terpakai Kepada Wang.

Pemilik Om Srijadamuno Enterprise, G Thyagarajan berkata, bagi sesetengah orang minyak masak terpakai adalah sampah, namun tidak untuk beliau yang mana ia boleh dikitar semula dan dapat memelihara alam sekitar.

Jelasnya, program terbabit merupakan usaha MBK untuk menggalakkan orang ramai, khususnya penduduk di sekitar bandar raya ini, supaya terlibat dengan kitar semula barangan terpakai.

G. Thyagarajan

Menerusi tinjauan MalaysiaGazette di perkarangan Dewan MBK, lori yang dibawa Thyagarajan atau lebih dikenali dengan panggilan Tiger Raj sudah hampir penuh dengan barangan terpakai yang dihantar oleh orang ramai.

“Bayangkan ini sampah yang dibuang untuk sehari, banyak kan?. Jadi kalau kita kitar semula, kan bagus,” katanya sambil menunjukkan barangan terpakai.

Katanya, bagi minyak masak terpakai beliau membelinya pada harga RM1.50 sekilogram, manakala 20 sen bagi sekilogram kertas, 40 sen sekilogram bagi kotak dan 30 sen sekilogram untuk plastik.

Dalam pada itu, salah seorang yang mengambil bahagian, Kang Lee Hui, 52, berkata, beliau sanggup meluangkan masa menghantar minyak masak terpakai dari rumahnya selepas mengetahui ia boleh ditukar kepada wang.

“Sebab sekarang minyak masak mahal, sebab tu jual balik. Sekurangnya dapat balik sikit harga bayar dulu,” tambahnya sambil tertawa.

Kang Lee Hui

Kang yang pertama kali menjual minyak masak terpakai itu teruja menerima RM15 bagi 10 kilogram (kg) minyak masak yang diletakkan di dalam beberapa botol plastik kecil.

Seorang penduduk Pantai Selamat yang hanya dikenali sebagai Zaza turut mengambil bahagian dan menjual semula kira-kira 11 kilogram minyak masak yang telah digunakan.

Katanya, ia adalah langkah terbaik daripada terbuang begitu sahaja.

“Saja nak hantar, sebab kalau tak ia terbuang sahaja. Kalau hantar sini dapat juga duit,” ujar beliau.

Zaza menerima wang tunai hasil tukar beli minyak masak terpakai, botol plastik dan botol kaca dalam Program Tukar Barang Terpakai Kepada Wang anjuran Majlis Bandaraya kuantan (MBK) hari ini.

Selain minyak masak terpakai, Zaza turut menghantar botol-botol plastik kosong, botol kaca dan kotak terpakai.

Difahamkan, menerusi program yang berakhir pada pukul 12 tengah hari itu, MBK berjaya mengumpul lebih 1.3 tan barangan terpakai dengan bernilai RM370.34 daripada 17 pengguna. -MalaysiaGazette