Anggota penguatkuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menunjukkan tumpahan minyak sawit di dalam sistem saliran berdekatan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi.

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan pencemaran akibat tumpahan minyak sawit yang memasuki sistem saliran berdekatan Sungai Semarang sebelum mengalir ke Sungai Langat, semalam.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, pencemaran itu berlaku susulan kemalangan jalan raya melibatkan dua buah lori membawa minyak sawit dan tanah di KM 36.8 arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) kira-kira jam 3.30 petang, pada Khamis.

“Jarak lokasi kemalangan yang dimasuki tumpahan minyak itu berhampiran dengan muka sauk loji rawatan air (LRA) Bukit Tampoi, kira-kira 700 meter.

“Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah mengaktifkan henti tugas LRA berkenaan bagi mengelakkan pencemaran berkenaan memasuki sistem LRA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Loy Sian, susulan tumpahan minyak itu, tiada gangguan bekalan air dilaporkan oleh Air Selangor.

Susulan itu katanya, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko.

“Langkah pencegahan awal telah dibuat oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan meletakkan 25 beg serbuk kayu di kawasan terlibat sebagai inisiatif pencegahan untuk mengekang insiden daripada bertambah teruk.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan oleh pihak LUAS dengan meletakkan sekotak oil pad di dalam longkang lebuh raya untuk mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke dalam sungai,” katanya.

Anggota penguatkuasa LUAS memasang empat “oil boom” di dalam dan selepas saliran longkang pembetung
di KM 36.8 arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) untuk menghalang aliran sisa minyak dari terus memasuki Sg. Semarang.

Dalam pada itu, LUAS telah memasang empat “oil boom” di dua lokasi berbeza di dalam dan selepas saliran longkang pembetung untuk menghalang aliran sisa minyak dari terus memasuki Sengai Semarang.

“Satu oil boom juga dipasang di dalam Sungai Semarang sebelum pertemuan dengan Sungai Langat.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sepang juga telah mengarahkan premis kilang kelapa sawit terlibat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk penyedutan baki sisa minyak dengan kadar segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, LRA Bukit Tampoi dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat susulan ketiadaan kesan bau dan minyak di dalam sumber air mentah.

“Pensampelan dilakukan oleh LUAS di tiga lokasi berbeza di bahagian hulu, longkang lebuh raya dan hilir sungai.

“Hasil pensampelan dijalankan menemukan tumpahan minyak bertakungan di dalam longkang lebuh raya, selain pensampelan di hilir sungai menemukan kesan-kesan sisa minyak di tepi dinding longkang.

Anggota penguatkuasa LUAS menjalankan pensampelan air sungai di LRA Bukit Tampoi bagi memastikan tiada pencemaran minyak sawit sebelum dibenar beroperasi semula.

“LUAS meneruskan siasatan dan pensampelan di kawasan hilir dan hulu muka sauk Bukit Tampoi sehingga jam 3.20 pagi awal pagi tadi. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kesan minyak ditemui di semua titik pensampelan,” katanya.

Sehubungan itu, LUAS telah menjalankan persampelan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan masih lagi dijalankan oleh premis terlibat dan ini sedang dibantu oleh LUAS melalui kontraktor yang dilantik.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa diteruskan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast