Keranda yang diperbuat daripada kayu serta makanan untuk bayi dikecualikan daripada cukai jualan, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy.
Subromaniam Tholasy

KUALA LUMPUR – Pakar percukaian dan pemain industri mencadangkan supaya kerajaan pertimbangkan untuk menggabungkan yang terbaik daripada Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada dan dipanggil Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan Diharmonikan (HSST) bagi menambah baik sistem cukai semasa di negara ini.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Kastam sehingga April 2020 di Kementerian Kewangan (MoF), Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkat,a walaupun GST adalah cukai penggunaan paling ideal, kerajaan telah berkata ia hanya akan diperkenalkan semula selepas pertimbangan yang teliti.

“Jadi SST semasa perlu ditambah baik dengan menggabungkan kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan menjadi satu kadar yang mungkin diselaraskan agar kerajaan dapat mengutip lebih banyak hasil,” katanya dalam ‘Mengharmonikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan: Alternatif yang Lebih Baik untuk Memperkenalkan Semula GST ‘ pada sesi sembang ekonomi yang dianjurkan secara maya oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) hari ini.

Beliau berkata, di bawah SST semasa, terdapat kira-kira 800 item (barang) yang dikenakan kadar jualan lima peratus dan 5,600 lagi item dikenakan 10 peratus, manakala di bawah GST ia pernah mengenakan cukai lebih 11,000 item.

“Kerajaan boleh menambah atau meluaskan asas barang di bawah SST kepada kira-kira 8,000 item dan masih mengekalkannya pada cukai satu peringkat iaitu cukai jualan. Manakala bagi cukai perkhidmatan, yang kini menyumbang 37 peratus, terdapat juga potensi untuk diperluaskan bagi mencerminkan imej GST, iaitu 65 peratus.

“Ini akan kurang memberi kesan kepada indeks harga pengguna (IHP) kerana apabila kita melihat bakul IHP, salah satu isu utama di bawah GST ialah lazimnya harga barangan telah menunjukkan peningkatan yang mendadak,” kata Subromaniam.

Di bawah SST, satu-satunya kelemahan yang paling penting ialah cukai bertingkat dikenakan berulang kali pada setiap peringkat perjalanan produk sepanjang rantaian bekalan.

Seorang lagi ahli panel, Dr Veerinderjeet Singh, ahli Suruhanjaya Cukai Global Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) menegaskan bahawa ia adalah persepsi yang tidak tepat untuk mengatakan bahawa pelaksanaan GST akan meningkatkan hasil kerajaan kerana ia meliputi kira-kira 70 peratus daripada barangan dan perkhidmatan, manakala SST hanya meliputi kira-kira 37 peratus.

“Saya adalah penyokong untuk GST dan masih lagi, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa jika kita meluaskan skop liputan dalam SST, kita juga boleh mengutip lebih banyak hasil. Tetapi berapa banyak, saya lebih suka cadangkan agar pihak berkuasa dan pihak berkaitan melakukan simulasi (untuk mengkaji perkara itu),” kata Veerinderjeet, yang juga Naib Pengerusi Suruhanjaya Cukai Global ICC.

Beliau menyokong idea untuk mengembangkan SST bagi meliputi lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, akan timbul kebimbangan terhadap inflasi kerana harga barangan lain akan meningkat berikutan pengenaan cukai sebanyak enam atau 10 peratus, tambahnya.

“Tetapi saya fikir ini boleh dilakukan dengan cekap dalam satu tempoh masa. Isu lain ialah penguatkuasaan perlu berkesan yang mana pelaburan dalam tenaga kerja perlu dilakukan.

“Selain itu, penggunaan teknologi adalah asas bagi penguatkuasaan untuk memberikan mekanisme kawalan yang lebih besar dan mungkin perlu diperkenalkan dalam model perantara.

“Selain itu, saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali kepada invois dan menyatakan nombor SST (pendaftaran) syarikat pada invois seperti yang pernah kami lakukan dalam GST, kerana ini harus mewujudkan ketelusan,” kata Veerinderjeet.

Ahli Lembaga Pengarah MIER dan bekas Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Yong Poh Kon yang bersetuju dengan perkara itu berkata, dengan mempunyai nombor (pendaftaran), ia akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengilang dan penyedia perkhidmatan kerana tidak akan mengenakan cukai antara satu sama lain.

“Walaupun akan berlaku kehilangan hasil kerana cukai ke atas cukai telah hilang dan kerajaan akan kehilangan pendapatan pertama (ke atas hasil), ia bukanlah kerugian sepenuhnya. Ini kerana kos perkhidmatan dimasukkan ke dalam produk pengeluar pada akhirnya.

“Daripada kehilangan enam peratus, ia hanya akan kehilangan satu peratus atau lebih. Saya fikir kita boleh menyelesaikannya dalam simulasi. Saya percaya penambahbaikan model semasa boleh menjadikan SST lebih baik, lebih berkesan dan lebih mudah kepada perniagaan dan kerajaan,” tambahnya. – BERNAMA