Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa melakukan aktiviti 'Berjalan Teguh Bersama' bersama rakyat sejauh 2.7km sempena majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dari Dataran Putra ke Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) perlu melihat kepentingan rakyat daripada kepentingan politik kepartian.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa isu yang dibangkitkan oleh PN mengenai terma-terma dalam perjanjian mereka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibawa ke meja perbincangan.

“Saya percaya Perdana Menteri dalam apa juga tindakan terpaksa mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat terbanyak.

“Soal-soal politik kepartian itu tidak boleh kita dahulukan daripada kepentingan nasional dan negara.

“Jadi eloklah duduk bersama Perdana Menteri dan beliau tidak ada masalah untuk duduk dan berbincang atas apa juga perkara terutamanya dengan rakan-rakan parti yang terlibat dalam pembentukan kerajaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang dirasmikan Ismail Sabri di Dataran Putra hari ini.

Annuar yang juga Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) itu berkata demikian mengenai kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Ismail Sabri tidak boleh mengambil sikap tidak peduli terhadap terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan gabungan tersebut.

Hamzah berkata, PN tidak puas hati apabila Ismail Sabri cuba menepis persefahaman yang telah dicapai.

Dalam pada itu, Annuar berkata, tindakan PN untuk menghantar delegasi untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri adalah satu langkah yang positif.

Ini kerana ia memerlukan satu perbincangan yang menyeluruh bagi memastikan kedua-dua belah pihak berpuashati.

“Saya fikir perkara itu bukan satu perkara yang terlalu rumit. Saya difahamkan berdasarkan kepada kenyataan akhbar, PN akan bertemu dengan Perdana Menteri, itulah sebaik-baiknya.

“Perkara itu perlu duduk dan perlu difikirkan bersama terhadap satu-satu perkara. Saya percaya Perdana Menteri dalam apa juga tindakan terpaksa mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat terbanyak,” katanya lagi.

PN dalam satu kenyataan Khamis lalu berkata, Ismail Sabri dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi perjanjian antara beliau dengan PN.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada malam Rabu lalu.

Hamzah berkata, PN akan menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

PN bagaimanapun tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast