Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim ketika berucap pada pogram Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor akan menjadi indikator bahawa gabungan itu mampu merampas seluruh negeri untuk mentadbir semula negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim berkata, falsafah untuk menawan sesebuah negara adalah dengan menakluk pusat ekonominya dan Selangor menepati kriteria tersebut.

“Dalam politik untuk tawan sebuah negara, kita perlu tawan pusat ekonomi di negara itu. Di Malaysia, kita tahu pusat ekonominya di Selangor.

“Dalam politik Eropah kita sebut you win Istanbul, you win Turkey. Di Malaysia juga begitu, kita menang di Selangor, menanglah kita di seluruh Malaysia,” katanya pada program Jelajah Harapan Selangor siri keempat di Dewan Serbaguna Lembah Keramat, di sini, semalam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim ketika berucap pada Program Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

Sementara itu, Adam turut mengulas mengenai kejatuhan kerajaan PH sebelum ini bukan berpunca penolakan rakyat, sebaliknya ia akibat pengkhianatan.

“Kita tumbang pada 2020 bukan kerana kita ditolak oleh rakyat. Kita tumbang kerana adanya pengkhianatan, kerana ada yang lompat parti, kerana ketamakan orang yang gilakan kuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adam juga melahirkan rasa bangga apabila Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dan menganggap ia merupakan hasil usaha gigih gerakan reformasi.

“Baru-baru ini ada perdebatan dalam Parlimen mengenai pelbagai perbahasan pindaan akta-akta termasuk Akta Anti Lompat Parti.

“Jadi, inilah yang diperjuangkan oleh kita, kalau tidak kerana gerakan reformasi kita, memang tidak akan ada sebarang perubahan dasar dalam negara ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette