Alexander Navin Vijayachandran sebelum ini ditahan polis berhubung siasatan tingkah laku membuat lawak yang dilihat sengaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam di Malaysia diiringi pegawai polis selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2022

BARU-baru ini, negara telah digemparkan dengan sebuah rakaman video yang tular mengenai sebuah persembahan komedi yang dikatakan menghina kesucian agama Islam. Penularan video ini telah menimbulkan reaksi yang bercampur baur dikalangan masyarakat, di mana rata-rata khususnya daripada kalangan masyarakat yang beragama Islam menyuarakan rasa
marah dan kecewa kerana ia dilihat menghina kesucian agama Islam. Namun, pada masa yang sama, ada pula yang mempertahankannya, diatas nama hak dan prinsip kebebasan ekspresi dan bersuara. Pokoknya, sejauh manakah lawak dan satira dibenarkan didalam undang-undang?

Kebebasan Ekspresi didalam Konteks Undang-Undang Antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan

Secara amnya, persembahan lawak, termasuklah Komediri (stand-up comedy) adalah tergolong didalam kategori bersuara dan ekspresi. Secara amnya, hak kebebasan bersuara dijamin di peringkat antarabangsa dibawah beberapa peruntukan dibawah beberapa dokumen yang berkaitan. Jaminan yang terulung di peringkat antarabangsa adalah termaktub di bawah Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights –UDHR). Ia juga dijamin dibawah Perkara 19(2) Konvensyen Antarabangsa Hak Sivil dan Politik ( International Covenant on Civil and Political Rights- ICCPR).

Namun yang demikian, kebebasan yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa adalah bukanlah bersifat mutlak. Hal ini kerana menurut Perkara 29 UDHR, hak kebebasan bersuara boleh disekat diatas alasan untuk melindungi prinsip moral, ketenteraman awam, kebajikan umum dan hak orang lain. Begitu juga dengan perkara 19(3) ICCPR yang menggariskan bahawa kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan secara bertanggungjawab, dan ianya boleh disekat melalui undang-undang bagi melindungi hak orang lain, ketenteraman awam, prinsip moral, serta kesihatan umum.

Di Malaysia, jaminan hak kebebasan bersuara dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, sepertimana yang termaktub dibawah undang-undang antarabangsa, kebebasan bersuara dalam konteks tempatan juga bukanlah bersifat mutlak, malah bolehdisekat diatas pelbagai alasan dan tujuan. Di dalam konteks ini, sekatan utama di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah termaktub dibawah Perkara 10(2)(a), di mana Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara bagi tujuan untuk menjamin keselamatan awam, memelihara prinsip moral, menentang fitnah, dan beberapa sebab-sebab yang lain yang disebutkan dibawah perkara tersebut.

Di bawah Perkara 10(4), juga memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi melarang beberapa perkara sensitif seperti berkenaan dengan status hak keistimewaan orang Melayu ataupun raja-raja melayu dipersoalkan. Dalam pada itu, kebebasan bersuara juga boleh disekat bagi mengekang apa-apa kegiatan yang bersifat subversif sepertimana yang diutarakan dibawah Perkara 149, dan juga melalui proklamasi darurat, seperti yang dinyatakan dibawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk menggubal dan mentadbir undang-undang adat dan Islam, kecuali negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian, ia juga memberikan kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang mencegah apa-apa penghinaan terhadap kesucian agama Islam.

Kedudukan Undang-Undang

Kedudukan Perlembagaan Persekutuan memberikan legitimasi kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang untuk menyekat hak kebebasan bersuara khususnya yang bertujuan menghina agama termasuklah agama Islam. Dalam konteks undang-undang jenayah, terdapat beberapa peruntukan yang boleh dikenakan dan dikuatkuasakan keatas kenyataan lawak yang dianggap boleh menggangu gugat keharmonian dan kesucian agama. Namun, pemakaian Undang-undang adalah bergantung kepada tahap keseriusan, saluran yang digunakan, kesannya kepada masyarakat dan juga diatas pertimbangan pendakwa raya.

Misalnya, sekiranya kenyataan tersebut mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dikalangan kaum, dan dilihat mampu mengancam keselamatan negara, maka tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 boleh dikenakan. Apa yang lebih menarik, Akta Hasutan 1948 tidak menuntut niat sebagai elemen penting dalam jenayah hasutan malah ianya sudah memadai sekiranya kenyataan yang dibuat mempunyai kecenderungan menghasut. Oleh itu, walaupun matlamat asal kenyataan itu dikeluarkan atas alasan berjenaka, namun, sekiranya ia mempunyai kecenderungan menghasut, maka inividu tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Selain daripada Akta Hasutan 1948, pendakwaan juga boleh dilakukan dibawah beberapa peruntukan dibawah Kanun Keseksaan, sepertimana yang termaktub dibawah Bab XV Kanun tersebut. Terdapat dua peruntukan yang relevan bagi maksud mengganggu gugat kesucian agama dibawah bab ini, iaitu Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Seksyen 298 menjenyahkan perbuatan melukakan perasaan agama seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Seksyen 298A pula menjenayahkan apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang dibuat diatas alasan-alasan agama, yang mampu mencetuskan ketidakharmonian diantara penduduk. Oleh kerana kesalahan dibawah 298A adalah lebih serius, maka Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 2 tahun namun tidak boleh melebihi 5 tahun keatas pesalah. Tambahan pula, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diguna pakai sekiranya kenyataan tersebut disebarkan melalui media elektronik.

Seksyen ini sering digunakan bagi tujuan pendakwaan terhadap individu yang menggunakan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian seperti media sosial secara tidak wajar. Penggunaan tidak wajar ini merangkumi komen, permintaan, atau komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam, atau jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang. Oleh kerana peruntukan ini adalah bersifat umum, oleh itu ia
juga boleh diguna pakai bagi menghukum apa apa komunikasi yang mencemar kesucian agama.

Seseorang yang disabitkan kesalahan dibawah Seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali. Perlu diingatkan bahawa, peruntukan-peruntukan yang disebutkan diatas adalah bersifat neutral dan tidak khusus kepada mana-mana agama. Namun, terdapat beberapa peruntukan yang secara khusus melindungi kesucian agama Islam yang termaktub dibawah undang-undang jenayah syariah.

Seperti yang dinyatakan, undang-undang syariah digubal dan ditadbir oleh negeri, sepertimana yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian,peruntukan undang-undang jenayah syariah mungkin berbeza bergantung dari satu negeri ke negeri yang lain. Misalnya di negeri Selangor, kesalahan menghina agama Islam diperuntukkan dibawah Seksyen 9,10 dan 11 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Manakala, terdapat peruntukan bagi maksud yang sama dibawah Seksyen 7, 8 dan 32 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan juga Seksyen 49,50 dan 56 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Menjunjung acuan sendiri

Secara amnya, walaupun hak kebebasan bersuara dan ekspresi dijamin oleh undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, namun ianya boleh dihadkan diatas tujuan-tujuan yang dibenarkan. Oleh itu, hak kebebasan bersuara dan ekspresi haruslah ditafsirkan berlandaskan citarasa ketimuran dan tempatan yang amat mementingkan adab dan tatasusila. Kesimpulannya, tidak salah untuk bergurau atau bersatira, namun semua pihak haruslah berwaspada dalam bertutur kata supaya ianya tidak menggangu sensitiviti mana-mana pihak ataupun menggugat kesucian mana-mana agama.

Oleh: Hafidz Hakimi Bin Haron
Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia,
Kampus Melaka