PUTRAJAYA – Pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor dianggap sebagai satu langkah baik dalam usaha mengukuh parti di negeri itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pelantikan Zafrul sangat baik lebih-lebih lagi beliau berlatar belakangkan seorang menteri Kabinet.
“Ia merupakan satu perkara yang sangat bagus bagi saya dan juga BN. Kita menganggap ia satu pelantikan yang baik khususnya dalam konteks negeri Selangor kerana beliau juga adalah berasal dari Selangor,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Forum Polisi Cukai Malaysia ketiga di sini hari ini.
Sebelum itu, Zambry menggantikan tempat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya hadir menutup forum tersebut.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pelantikan Zafrul sebagai Bendahari UMNO Selangor juga adalah mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau dalam mengurus kewangan.
Katanya, beliau yakin dengan kemampuan yang ada dan juga latar belakang yang dimiliki Zafrul mampu memberikan sesuatu yang terbaik kepada BN di Selangor.
Dalam pada itu, Zambry berkata, perkembangan tersebut merupakan satu perkara yang sangat positif kepada BN yang kini sering menonjolkan muka-muka baharu dalam kepimpinan.
Ujarnya, ia dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di Johor dan di Melaka baru-baru ini dan langkah BN menonjolkan Zafrul di Selangor juga membuktikan bahawa parti itu mahukan pelapis baharu.
“Tentunya dalam konteks Selangor dengan kita memaparkan wajah-wajah baru ia akan memberi impak yang baik dan kita doakan ia akan membawa satu perubahan yang baik,” tambahnya.
Untuk rekod, Zafrul dilantik sebagai Bendahari UMNO Selangor sebagai antara usaha untuk menawan semula negeri itu dari tangan Pakatan Harapan (PH).
Zafrul diumumkan menyertai BN dan dilantik sebagai Bendahari BN Selangor baharu oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beliau menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette