Zulkifeli Mohd. Zin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan Zulkifeli adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamad yang bersara sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pada 30 Jun lepas.

Katanya, Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010 seterusnya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 dan bersara pada 14 Jun 2017.

“Beliau mempunyai pengalaman lebih dari 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia.

“Sumbangan beliau yang begitu signifikan di dalam bidang keselamatan telah mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional atau NASCA,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, Zulkifeli mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi dan Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom.

Beliau merupakan graduan dari Royal Thai Army Command and General Staff College, Thailand pada tahun 1992 dan memiliki Sarjana Strategi Sumber Negara (National Resource Strategy) dari National Defence University (NDU), Washington DC, Amerika Syarikat pada 2001, katanya.

Tambahnya, Zulkifeli seterusnya dianugerahkan Doktor Kehormat bidang Pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada 2013.

“Saya yakin, melalui pengalaman beliau yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan ini tepat pada masanya dan selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.

“Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette