Hujan lebat tanpa henti lebih dua jam mengakibatkan lima kampung di Baling dilanda banjir kilat malam ini.

BALING – Hujan lebat tanpa henti lebih dua jam mengakibatkan lima kampung membabitkan tiga mukim di daerah ini dilanda banjir kilat.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Batu Tujuh Rambong, Telok Sanau dan Bendang Sera, Kampung Seratus dan Kampung Tanjung Langsat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hujan lebat bermula pukul 7 malam dan berhenti dua jam kemudian menyebabkan kedalaman air Sungai Baling naik melimpah ke kampung berhampiran.

Shamsudin.

Jelas beliau, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini bagi menempatkan 37 mangsa.

“Sebanyak 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kenangan Tun Abd Razak manakala 20 mangsa ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan Tunku Habsah.

“Tiada mangsa terperangkap mahupun insiden kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shamsudin, pemantauan sedang dilakukan pihak polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam. – MalaysiaGazette