Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang sudah melaksanakan sebanyak 80 peratus kerja pemulihan Tasik Chini di Pekan bermula Ogos tahun lalu melibatkan sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja pemulihan semula kawasan tasik semulajadi itu dijalankan menggunakan Dana Pembangunan Hutan yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Jelasnya, selain penanaman semula pokok, proses penghijauan kawasan dan kerja pemulihan kawalan hakisan mendapan di sekitar Tasik Chini menunjukkan perkembangan positif.

“Usaha pemulihan tasik dilakukan dengan penanaman semula pokok dan tanaman penutup tanah membabitkan kawasan seluas kira-kira 200  hektar dengan anggaran kos berjumlah RM3.95 juta.

“Projek pemulihan kawalan hakisan dan sedimen sepanjang 1.75km di zon penampan tasik itu sudah siap pada 22 Jun lalu dengan kos RM2.5 juta,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan, Lee Chean Chung (PKR-Semambu).

Terdahulu pada 14 Julai tahun lalu, mesyuarat Exco sudah bersetuju mewartakan 6,502 hektar tanah kerajaan sebagai Hutan Simpan Chini di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984 sebelum ia disiarkan dalam warta kerajaan negeri pada 5 Ogos 2021. – MalaysiaGazette