MOF Tengku Zafrul BKM Bantuan Keluarga Malaysia cash aid
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Jun lalu.

Jumlah ini tidak termasuk liabiliti luar jangka entiti seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Hutang 1MDB, SRC dan SSER secara umumnya tidak langsung meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tetapi memandangkan 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti yang menerima jaminan kerajaan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Badan Korporat) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan, kerajaan terdedah kepada risiko liabiliti luar jangka jadi selagi komitmen hutang mereka masih belum diselesaikan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Kewangan itu berkata, entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana ia menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan untuk membantu pembayaran komitmen hutang.

Tengku Zafrul menjawab soalan Wong Kah Woh (DAP- Ipoh Timur), yang bertanya berapa hutang negara setakat ini dan bagaimana hutang/jaminan 1MDB, SRC dan SSER telah menyumbang kepada peningkatan hutang tersebut.

Menurut Tengku Zafrul lagi, setakat tempoh itu, baki komitmen hutang 1MDB melibatkan pembayaran pokok dan faedah ke atas dua bon dan satu terbitan sukuk berjumlah RM32.08 bilion berdasarkan kadar pertukaran mata wang asing AS$1 hingga RM4.50.

Baki hutang SSER yang melibatkan pembayaran pokok dan faedah berjumlah RM8.78 bilion dengan mengambil kira kadar pertukaran mata wang asing RMB1 hingga RM0.6588.

Bagaimanapun, komitmen hutang SRC telah pun selesai pada 28 Mac 2022,” katanya.

Dalam jawapan berasingan kepada Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong, Tengku Zafrul berkata, pembayaran faedah ke atas hutang 1MDB berjumlah RM1.57 bilion untuk 2022, berdasarkan kadar pertukaran mata wang asing AS$1 hingga RM4.50, dan pembayaran faedah dibuat dua kali setahun mengikut jadual yang ditetapkan.

Tambahnya, pinjaman luar pesisir kerajaan persekutuan sehingga akhir suku pertama, yang kebanyakannya dalam mata wang asing, berjumlah RM29.2 bilion atau 1.8% daripada KDNK.

Daripada jumlah ini, pinjaman pasaran yang terdiri daripada hutang sukuk global dan bon Samurai mencatatkan RM24.9 bilion, manakala baki RM4.3 bilion adalah untuk pinjaman projek.

Bayaran faedah pinjaman luar pesisir dibuat dua kali setahun mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagi 2022, sejumlah RM780 juta diperuntukkan untuk pembayaran faedah pinjaman luar pesisir termasuk bon Samurai, sukuk global dan pinjaman projek luar negara,” ujar beliau Tengku Zafrul. – MalaysiaGazette