Ibrahim Abul Salam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rogol dan amang seksual di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan rogol dua adik beradik perempuan bawah umur yang juga warganegara sama dengannya.

Tertuduh, Ibrahim Abul Salam, 55, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noor Aini Yusof

Mengikut pendakwaan pertama, tukang sapu itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun enam bulan di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah pada jam 11 pagi, 24 Julai lalu.

Tertuduh melakukan kegiatan terkutuk itu ke atas dua beradik yang sama warganegara dengannya.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama di lokasi yang sama antara Januari hingga Disember tahun lalu.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa bagi pertuduhan ketiga dan keempat iaitu melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan yang juga adik kepada mangsa pertama yang berusia lapan tahun tiga bulan.

Kesalahan amang seksual fizikal berkenaan didakwa dilakukan pada 25 Julai lalu, pada jam 1 tengah hari manakala kejadian rogol pula antara Januari hingga Disember tahun lalu yang ia berlaku di lokasi sama.

Bagi kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam, Rafael Abdullah.

Ketika prosiding pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi mangsa berikutan tertuduh tinggal berhampiran kediaman mangsa, selain mahu menjaga saksi-saksi lain.

Malah, Rafael juga tidak bercadang memohon sebarang jaminan ketika ini bagi meneliti semua dokumen yang akan diperolehnya terlebih dahulu untuk tindakan lanjut.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin serta kes akan disebut semula pada 2 September depan untuk laporan perubatan dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette