Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik sebuah pusat kecergasan melalui detik cemas apabila diekori dan ditumbuk seorang individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak  berdekatan sebuah pasaraya terkemuka di Ampang, dekat sini pada 22 Julai lalu.

Suspek dikenalpasti bekerja sebagai produksi drama dan filem Tamil tempatan yang ditahan polis semalam mendakwa mangsa mengeluarkan kata kesat terhadapnya sebelum siasatan lanjut polis mendedahkan masalahnya berpunca disebabkan perebutan teman wanita anda kedua-dua individu itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi 22 Julai itu, mangsa yang berusia 34 tahun telah diekori suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda.

“Sejurus sampai di sebuah stesen minyak, pengadu telah didekati dan ditumbuk oleh suspek selain diugut bunuh sekiranya pengadu menjerit.

“Akibat kejadian itu, pengadu mengalami sakit di bahagian pipi sebelah kiri dan menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, bertindak atas laporan polis pada hari kejadian itu, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki suspek berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut pada jam 8.30 malam semalam.

Tambah beliau, suspek ditahan di pekarangan IPD Ampang Jaya selepas hadir memberi keterangan berhubung insiden itu sebelum pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda disyaki digunakan semasa kejadian itu.

“Semakan rekod jenayah lampau juga dapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah.

“Siasatan polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada suspek menuduh pengadu ada mengeluarkan kata-kata kesat namun siasatan lanjut polis mendedahkan masalahnya berpunca daripada perebutan teman wanita anda kedua-dua individu tersebut,” ujarnya.

Mohamad farouk berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan jenayah dengan cara mengeluarkan kata- kata ugutan jenayah, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, suspek direman hari ini untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette