Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal sebagai salah satu penyelesaian Ôfirst mile/last mileÕ bagi pengangkutan awam di Pusat Kerja Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disifatkan sebagai seorang yang tidak bercakap benar apabila menyertai barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, Tengku Zafrul sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik.

Lantaran itu, Fahmi agak hairan dengan sikap Tengku Zafrul yang menyertai BN sedangkan beliau dilihat rapat dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau yang disebut oleh Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu betul, maksudnya beliau selama ni adalah ahli UMNO, maksudnya beliau juga tidak bercakap benarlah sebelum ni.

“Saya nak ucapkan “all the best” kalau dia nak pergi ke Selangor…mungkin dia boleh kayuh basikal mahal dia ke Kuala Selangor...all The best,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya pandangannya berkenaan pelantikan Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor, sekali gus menguatkan parti itu untuk mencapai matlamat merampas semula kerajaan negeri yang sekarang ini ditadbir oleh PKR.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Tengku Zafrul perlu menjelaskan kepada rakyat berhubung tindakannya itu.

Katanya, meskipun keputusan untuk menyertai mana-mana parti adalah hak individu namun langkah menjelaskan apa yang telah dilakukan itu perlu supaya rakyat dan juga pengundi nampak apa yang dilakukan.

Tambahnya, beliau tidak pasti sama ada keputusan BN melantik Tengku Zafrul ke jawatan tersebut dapat membantu menguatkan parti tersebut atau ia akan berlaku sebaliknya.

“Saya rasa sama ada beliau akan membantu ataupun menjadi beban kepada UMNO di Selangor, itu kita lihat kemudianlah, itu pengundi akan putuskan.

” …tetapi sebagai seorang wakil rakyat dan seorang Ahli Parlimen, saya lihat beliau sebelum ini pernah berkata takkan terlibat dengan politik, tapi sekarang dah masuk politik,” ujarnya.

Untuk rekod, Zafrul dilantik sebagai Bendahari UMNO Selangor sebagai antara usaha untuk menawan semula negeri itu dari tangan Pakatan Harapan (PH).

Tengku Zafrul diumumkan menyertai BN dan dilantik sebagai Bendahari BN Selangor baharu oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette